Monday, April 27, 2009

From ILTC Blog

‘OKU tak kaya kalau ada TV'

Jumaat, 24 April 2009





‘OKU tak kaya kalau ada TV'

BINCANG...Shahrizat mengadakan rundingan dengan golongan OKU yang mengadakan bantahan, semalam.

KUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menarik semula bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) hanya kerana di rumah mereka terdapat televisyen dan Astro disifatkan sebagai satu tindakan keterlaluan.

Berikutan itu, seramai 15 OKU berkumpul di hadapan pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini untuk bertemu Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi meluahkan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung tindakan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, semua peserta bantahan terbabit memegang sepanduk sambil melaungkan ‘kami mahukan pembelaan...jangan tindas kami’ kira-kira 10 minit di hadapan bangunan itu sebelum bergerak masuk.

Pengerusi Persatuan Badan Latihan dan Hidup Berdikari, G Francis Siva, berkata pihaknya amat terkilan dengan tindakan itu dan ia satu diskriminasi kepada mereka yang tidak berupaya.

“Hanya kerana kami memiliki Astro dan televisyen mereka mahu menarik semula bantuan yang disalurkan selama ini. Ini adalah tindakan mengarut dan lebih kepada penindasan.

“Mereka sepatutnya berbincang dengan mana-mana wakil OKU terlebih dulu sebelum mengambil tindakan seumpama itu bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, golongan OKU hanya mampu mendapatkan maklumat dengan menonton televisyen manakala segelintir saja daripada mereka mempunyai Astro bertujuan untuk berhibur. “Semua orang tahu peralatan elektronik kini dijual pada harga murah dan saya yakin pemilikan televisyen dan Astro bukanlah menandakan kami berkemampuan ataupun hidup mewah.

Sebaliknya, kami juga manusia biasa dan punya naluri untuk berhibur dengan cara tersendiri.

“Lagipun fasiliti di negara ini tidak berpihak kepada golongan OKU untuk berhibur seperti menonton wayang. Inilah (televisyen dan Astro) satu-satunya ruang untuk kami berbuat demikian,” katanya.

Sharizat yang ditemui selepas perjumpaan dengan wakil OKU kira-kira lebih 20 minit berkata pihaknya mengalu-alukan maklum balas seumpama itu daripada orang ramai dan berjanji akan mengambil tindakan susulan.

“Tujuan kita bertindak demikian bukanlah untuk menindas mana-mana pihak sebaliknya dilakukan bagi memastikan ketelusan selain bersifat lebih adil kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Peraturan sekat elaun OKU dikaji

Jumaat, 24 April 2009


Peraturan sekat elaun OKU dikaji
SHAHRIZAT bertemu OKU yang tidak puas hati mengenai penarikan semula bantuan kewangan bagi golongan OKU di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi jaminan akan mengkaji semula peraturan menyekat orang kurang upaya (OKU) menerima elaun kebajikan sekiranya mereka memiliki televisyen atau Astro.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memberi jaminan itu selepas berbincang dengan sekumpulan 12 OKU yang mengunjungi pejabatnya di sini, semalam.

"Anda memberitahu saya untuk melihat semula peraturan ini, saya akan melihatnya... saya berasakan permintaan ini adalah wajar dan saya akan melihatnya kembali. Kita akan kembali dengan jawapan yang realistik," kata Shahrizat. Beliau turut menegaskan peraturan itu tidak bertujuan untuk mendiskriminasi OKU.

Shahrizat berkata demikian mengulas laporan akhbar New Straits Times, semalam, bahawa golongan OKU yang memiliki televisyen atau Astro di rumah masing-masing disekat daripada menerima bantuan kebajikan.

Beliau kemudian menjelaskan, peraturan itu hanya dikuatkuasakan terhadap mereka yang tergolong di bawah skim OKU yang tidak mampu bekerja dan diberi bantuan RM150 sebulan.

"Apabila OKU mempunyai kemudahan Astro di rumah mereka... ini ditakrifkan sebagai petanda OKU sudah mampu berbelanja lebih... dalam konteks ini untuk hiburan. "Tindakan menggunakan Astro dianggap sebagai perbelanjaan bulanan tambahan yang mengurangkan penggunaan wang bantuan untuk keperluan asas," katanya.

Bagaimanapun, Shahrizat menegaskan peraturan itu tidak menjejaskan dua lagi skim kebajikan untuk pekerja kurang upaya dan penjaga OKU lumpuh yang menerima bantuan bulanan RM300.

"Mereka yang masih menguat kuasa peraturan ini terhadap dua kategori OKU terbabit boleh diambil tindakan. Bagaimanapun, saya akan mengkaji semula peraturan berkaitan pemilikan Astro dan televisyen," katanya.
Terdahulu, keadaan agak tegang di ruang menunggu kementerian terbabit dengan beberapa individu membawa sepanduk mengutuk peraturan itu tetapi suasana kembali tenang sebaik Shahrizat tiba.

Beliau kemudian berjabat tangan dengan semua OKU yang berada di ruang menunggu kementeriannya sambil bertanya nama dan latar belakang sebelum menarik sebuah kerusi duduk bersama mereka untuk mendengar masalah dibangkitkan.

No comments: